Ahlan! ~Blog j-QAF SK Jelawat~

أهلا وسهلا ومرحبا بكم



BARISAN GURU SKJ... (PUZZLE MODE). CHECK IT OUT!~



ALbUm KBS j-QAF SK JELAWAT


album p n p j-QAF sk jelawat


Sunday, November 8, 2009

KEJORA!

“Mama... Ayah..., Betulkah keputusan yang Deeja buat ni? Deeja rasa seakan tak mampu lalui hari mendatang. Deeja ragu, mama. Deeja takut, ayah... Hati Deeja berserabut! Deeja tak tenang! Deeja takut kalau-kalau Deeja salah membuat pilihan. Deeja takut untuk berhenti di destinasi yang salah.”

Kuperhatikan reaksi mama dan papa. Mama nampak risau. Demikian juga papa. Arghhh!!! Maafkan aku...

“Anak mama dan papa ni mesti kuat ya sayang... Jangan sesekali Deeja berserah sebelum mula berjuang. Andai jatuh, Deeja masih boleh bangkit untuk terus berusaha. Hidup tak selalunya mudah. Deeja mesti tempuh warna-warni kehidupan. Percayalah, pilihan Deeja ini adalah terbaik. Istikharahmu yang membawamu ke sini nak...” Tenang mama berbicara. Papa mengangguk.

***************************************************

Jam berdetik. Waktu terus berlari. Sunyi malam menemaniku. Seakan ada sesuatu yang menyebabkan aku kerap kali terjaga dari lena tatkala jarum jam menunjukkan 3.30 pagi. Aku bingkas bangun dan berwudhuk.

Alunan irama dari sang cengkerik tidak putus-putus. Sang cengkerik tetap menyanyi. Namun semakin lama, bunyi irama itu semakin menghilang. Senyap. Suasana rumah sewaku sepi pada malam itu. Bagai tiada penghuni. Damai. Tenang. Tiada hingar menjengah. Maklumlah, masing-masing penat memerah otak dan tenaga di siang hari. Pulang dari sekolah, tugas tidak terhenti setakat itu sahaja. Buku Rancangan Pengajaran Harian diisi dengan penuh hemah dan teliti. Kreativiti semaksimanya dijadikan sumber menghasilkan Bahan Bantu Mengajar yang menyeronokkan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Idea diperah, tenaga dikerah untuk menganjurkan dan menguruskan sesebuah aktiviti mahupun acara. Rela bersengkang mata, rela berpenat lelah. Segalanya demi masa depan para pelajar yang sangat disayangi. Sebagai guru pelatih, aku mengambil peluang dalam mempelajari pelbagai teori dan gerak kerja dalam ilmu pendidikan. Letih??? Penat??? Bosan??? Leceh??? Itu bukan persoalan! Guru itu murabbi. Guru itu mu’addib. Lantaran itu, berkorbanlah! Aku bahagia begini… Bahagia untuk terus di arena keguruan. Sesungguhnya pengorbanan adalah suatu yang tiada ternilai.

Buat kesekian kalinya, aku berada di hamparan tikar sembahyang. Meluangkan secebis ruang waktu bertahajjud padaNya. Berserah diri memohon mendamba keeampunan. Dialah Al Khaliq; Allah nan Esa. Dia terlalu aku rindui. Bukankah Allah itu dekat dengan hambaNya ketika mereka bersujud?

“Ya Allah… Betapa kerdilnya diriku ini di sisiMu Rabbi… Betapa beratnya beban amanah yang Kau sandarkan ke bahuku ini… Wahai Tuhan yang Maha Mengerti lagi Maha Mengasihi…, tunjukkanlah jalanMu kepadaku dalam mendidik pelajar-pelajarku; putera dan puteri sekaliannya. Sesungguhnya Engkaulah tempat pergantunganku…”

Alhamdulillah... Kini aku berbangga dengan keputusanku memilih bidang pendidikan ini. Syukurku tiada terhingga!

Seketika aku bermuhasabah diri sendirian di penjuru waktu. Kuhayati lirik nasyid “Rintihan” oleh alunan Hijjaz… Air mata membasah pipiku. Syahdu hati ini.

Biar berlinangan airmata Ku takkan hentikannya Biarkan ia menyembuh luka Hilanglah rasa duka Tidak ku termampu merentasi liku-liku Oh tidak aku mampu

menghadapi semua itu Oh sungguh ku tak upaya

Jangan dibiarkan jerih perih kehidupan Bisa meleraikan iman Kan hancur semuanya

Walau menitis airmata darah Tak bisa merubah segalanya Melainkan taubat nasuha Moga kan diterima

Namun ku percaya Masih ada kesudahannya Kerana allah itu Maha kaya maha mendengar Rintihan hamba-hambanya

Kerana sesiapa bertaqwa kepadanya Pasti akan ada Jalan keluarnya Rezeki yang tidak disangka-sangka Cukup allah baginya Berkuasa segala-galanya Terima seadanya…

Kedengaran sayup-sayup suara Azan Subuh berkumandang dari masjid berdekatan. Aku yang masih bertelekung sembahyang bergegas menghampiri rakan-rakan serumah. Mengejutkan mereka dari terus dibuai mimpi indah.

**************************************************

Hari ini hari minggu. Hari minggu pertama aku di Sekolah Menengah Kirana (2) sebagai guru pelatih. Kak Syu, Kak Mila dan Kak Efah masing-masing pulang ke kampung halaman. Masing-masing merindui orang-orang tersayang. Bayangkanlah, mereka terpaksa berjauhan dengan suami dan anak-anak… Jarang sekali dapat bersama! Lainlah aku yang masih membujang. Tinggallah aku terkontang-kanting keseorangan di rumah papan beratap zink ini. Kak Syu, Kak Mila dan Kak Efah tentunya mempunyai rutin dan tugas yang lebih berat. Namun, kecekalan hati mereka yang berjiwa pendidik ini tidak pernah merasakan ujian ini sebagai bebanan hidup. Bahkan inilah ujian. Jihad untukNya! Sikap ini ingin aku contohi. Sebagaimana kata Kak Mila, “Jauh itu pembangkit kerinduan! Singkatnya waktu bersama mencambahkan bibit-bibit kasih!”

Hati bergelodak mahu pulang. Rindukan mama dan papa. Teringatkan usikan manja Abang Long dan Kak Ngah. Juga tak lupa, aku begitu merindui gelak tawa anak-anak saudaraku! Mak Su rinduimu sayang! Jerit hatiku. Ahh… Kehendak untuk bersama keluarga pada waktu ini perlu aku bataskan. Aku ditugaskan untuk mengganti ketiadaan warden Aspuri yang turut balik kampung bagi menguruskan dan menghadiri kenduri perkahwinan adik bongsunya. “Redha aje lah…!” Bentak hati ini sambil menyulamkan sebuah senyuman.

Aku yang baru seminggu ditugaskan sebagai guru pelatih di Sekolah Menengah Kirana (2) ini masih belum sempat mengenali para pelajar. Setakat ini, aku baru sahaja berpeluang memasuki tiga kelas dari Tingkatan 1, empat kelas dari tingkatan 2, dan sekelas dari Tingkatan 3. Aku ditaklifkan untuk mengajar Matapelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Komunikasi. Aku belumpun mengenali nama dan rupa kesemua pelajarku. Manakala mereka yang sudah berkesempatan mengenaliku, pantang sahaja melihat aku lalu di hadapan kelas, bersorak riuh seluruh isi kelas mengalukan kedatanganku. Kata mereka, aku bagaikan kawan. Bagai rakan yang boleh dikongsi cerita. Bagai sang pendengar setia. Bagai pengubat sunyi jiwa. Bagai penyuluh laluan ilmu. Bagai pendorong mengenali agama! Terharu aku dalam diamku.

Namun… Tidakku nafikan segelintirnya seakan tidak suka kehadiranku. Seakan bosan mendengar patah bicaraku. Aku akur. Terima. Inilah masam manis sebagai seorang guru.

Langit memerah. Itu tandanya Maghrib sedang mengetuk pintu waktu. Aku yang baru tiba di pekarangan sekolah memerhatikan gerak langkah putera-putera yang berbaju melayu, berkain pelikat menuju ke masjid sekolah; Masjid Islah. Ada juga yang berjubah serba putih, berketayap dan berserban. Tenang menyaksikan putera-putera SM Kirana (2) sebegini. “Alhamdulillah…” Itulah bisikan hatiku.

Perodua Kenari putihku kemudiannya menyusur memasuki laman Aspuri. Sebagaimana tenangnya hatiku melihatkan pelajar-pelajar putera, demikianlah tenangku melihatkan puteri.

Alangkah indahnya erti hidupku sebagai guru andai putera-puteri ini bisa memahami erti perjalanan hidup yang tiada abadi ini… Alangkah indahnya erti hidupku sebagai seorang guru andai putera puteri ini dapat mengikhlaskan diri mendidik hati mendekati Rabbul Izzati dalam setiap hela nafas… Alangkah indahnya erti hidupku andai putera-puteri ini dapat menjaga perilaku dan peribadi… Mengikut jejak langkah Sayyidul Ummah Muhammad s.a.w, para sahabat dan sahabiah… Aku bermonolog sendiri. Adakah impian ini hanyalah impian dan igauan mimpi? Tidak mungkinkan terealisasi?... Apa yang aku perhatikan, mereka masih jauh untuk ke destinasi mahmudah itu! Ramai yang ponteng! Ramai yang tidak mematuhi etika berpakaian! Ramai yang bebas bersosial! Ramai yang mengetepikan adab sopan! Astaghfirullahal’azim…

Ya Allah… Kuatkanlah aku duhai Tuhan! Pimpiniku agar dapat pula aku memimpin putera-puteriku ke jalan yang Kau redhai… Sekurang-kurangnya, sebelum aku menamatkan tempoh praktikum, izinkan aku meninggalkan mereka secalit rasa ke dalam hati untuk berubah menjadi insan yang lebih baik. Tuhanku…, hanya padaMu aku berharap.

Di Masjid Al Ihsan, putera-puteri berkumpul. Bersedia untuk solat berjemaah. Manakala puteri yang ma’zurah, mereka juga dikehendaki mengosongkan dorm dan dipastikan untuk berada di beranda masjid agar nanti mereka lebih terjaga. Hati lebih dekat dengan Allah. Jiwa lebih tenang tatkala mendengar butir bicara tazkirah yang terlafaz oleh guru-guru bertugas mahupun jawatankuasa asrama.

Malam ini, kelihatannya Ustaz Wajdi dan Cikgu Yusri sedang mundar-mandir di atas masjid. Selain mereka berdua, aku turut bertanggungjawab bersama-sama mereka. Selesai solat, Ustaz Wajdi menyampaikan tazkirah nasihatnya. Segelintir sahaja pelajar yang sedang tekun mendengar. Ada yang sendang berbual kosong sesama sendiri. Tidak kira putera mahupun puteri. Bising! Aku yang yang berada di bahagian solat pelajar puteri jelas dapat menangkap suara-suara nakal pelajar putera yang sedang bergelak tawa.

Geram! Inikan Baitullah? Mana rasa hormat hamba pada Al KhaliQ? Mana sikap hormat pelajar kepada guru? Bukan lagakku hendakkan guru dihormati, tapi itukan suruhan junjungan Muhammad??? Itukan nilai murni perlu dipraktik ummah? Aku tidak nampak pelajar putera tatkala ini. Terbatas dengan tabir biru itu. Tabir pemisah antara putera dan puteri. Yang jelas, suara-suara mereka yang menyinggah cuping telingaku. Manakala puteri-puteri yang belum menyedari kehadiranku bersama pada malam itu, masih ada yang berkelakuan kurang manis. Aku berpaling ke belakang saf. Sudah kosong. Rongak. Tinggal hanya beberapa pelajar yang khusyuk meneliti patah demi patah bicara guru. Ada halaqah-halaqah kecil di bahagian belakang masjid. Bukan halaqah membentang tazkirah! Halaqah perbualan duniawi semata! Tidakkah mereka tahu bahawa Rasulullah s.a.w sekeras-kerasnya melarang ummatnya menyentuh ehwal duniawi di rumah Allah? Aku bingkas bangun. Hatiku mahu menyinga. Tapi kesabaranku memujuk.

Discussion pasal apa ni? Cikgu kan tengah bagi tazkirah tu. Bukankah lagi afdhal kalau kita dengar sama-sama. Tangguhkan dulu bicara duniawi.” Nasihatku penuh hemah. Seorang bangun. “Eh, kau peduli apa hah? Kau ingat kau tu sapa, anak raja? Kalaupun anak raja, peduli apa aku? Wekkkk! Berlagak mengalahkan segala manusia! Penyibuk! Pergi duduk lah! Jangan ambil tahu hal orang! Go!” Teriak seorang pelajar puteri. Melalak merah matanya. Aku pasti dia tidak mengenaliku sebagai seorang guru kerana aku tidak pernah berjemaah di sini. Lagipun aku tika di sekolah, lebih sinonim dengan pelajar menengah rendah. Tambahan pula aku bertelekung sembahyang yang melabuh ke lutut pada detik ini. Berlainan dengan penampilanku di sekolah yang lazimnya berbaju mini kurung bertudung turki. Kumpulan pelajar itu jelas menyangkaku salah seorang dari penghuni aspuri; pelajar SM Kirana (2). Mereka hadiahiku jelingan tajam. Mereka hadiahiku dengan wajah yang bengis. Mereka hadiahiku dengan rasa yang benci!!! Mereka meracuni sekeping hati ini.

Tidak terkata. Terkedu aku pada waktu ini. Kecut. Hancur. Kolam mataku digenangi air. Aku sapu air mata itu. Aku sapu kesedihanku. Terbayang pula pada perjuangan Rasulullah dan para anbiya’ yang sentiasa ditohmah lagi dicaci. Kesabaran mereka inspirasiku! Kecekalan mereka pendorongku! Aku mesti kuat.

Sebelum melangkah kaki meninggalkan kumpulan pelajar yang kehausan adab ini, aku memandang mereka sekilas waktu. “Apa kau pandang-pandang? Berlagak baik betul manusia ni! Pergilah!!!” Sekali lagi pelajar itu bersuara keras. Kemudiannya dia hanya tersengih selamba. Sedikit pun tidak mengambil kira perasaanku. Aneh! Bagaimana boleh mereka bersikap sekejam ini? Aduhai puteriku sayang... Hatiku hiba.

Aku memalingkan muka dari mereka. Jauh di sudut hati, kudoakan agar mereka dikurnia petunjuk hakiki. “Ustazah...!” Satu suara memanggilku. Jelas suaranya. Panggilan dari seorang pelajar puteri yang berada tidak jauh dari situ. Pelajar lower form. Tingkatan 2 barangkali. Aku mekarkan senyuman buatnya. Dia telah memerhatikan aku dari awal aku menyapa sekawan pelajar tingkatan 5 tadi. Mendengarkan aku dipanggil dengan gelaran ‘ustazah’, jadi tercengang mereka yang berkasar denganku sekejap tadi. “Ustazah?” Terdengar sayup-sayup persoalan yang timbul sesama mereka tatkala mengetahui aku adalah salah seoarang guru SM Kirana (2). “Er... Maafkan kami ustazah. Kami sangkakan ustazah pelajar baru di sini.” Salah seorang dari mereka memegang hujung jariku. Cepat aku melepaskannya. Entahlah. Hatiku jadi jauh. Hakikatnya, ingin sahaja aku memeluk setiap mereka, sebagai tanda aku terlalu menyayangi mereka. Tapi kejauhan hati ini menghalangku untuk tetap bersabar dan tenang. Aku suarakan kehampaan.

“Saya kecewa dengan kamu semua. Jagalah peribadi. Kalau tidak mahu hormati saya, itu tidak mengapa. Tapi hormatilah insan sekelilingmu. Bersopanlah..., dan sedarlah kita ini hambaNya!.”

Aku meninggalkan mereka.

******************************************

“Deeja! Ni hah... Ada lagi surat cinta!” Kak Syu membawa sampul pink yang berisi surat kepadaku. Entahlah pelajar mana yang mengutusiku. Nasib baik bukan pelajar lelaki. Ngomel hati ini. Tersenyum aku sendirian.

Ahh... Entah kali ke berapa pengutus surat ini mengutusiku. Kenapa tidak terus sahaja dia bersemuka denganku?

Assalamualaikum w.b.t...

Ustazah yang sangat saya hormati dan sayangi... Saya doakan kesejahteraan dan kesihatan ustazah selalu.

Ustazah, kejora yang menerangi hariku...

saya kagumi ustazah. Saya mahukan ustazah untuk sentiasa berada dekat dengan saya. Saya nak ustazah nasihati saya... Saya nak ustazah bimbingi saya. Tapi ustazah..., Ketahuilah, saya tidak mampu berhadapan dengan ustazah. Saya janji, saya akan cuba nenbaiki sahsiah peribadi. Menghiasinya dengan bungaan mahmudah.

Ustazah, tinggal lagi beberapa hari ustazah di sekolah ini. Betapa saya menangis mengenangkan perpisahan yang menyakitkan ini. Ustazah, saya letih menghitung hari. Ustazah akan tinggalkan kami. Ustazah...

Saya sayang ustazah. Saya perlukan ustazah untuk menasihati saya!!! Tolonglah saya... Saya tidak mampu menyatakan siapa saya kepada ustazah. Tidak mampu saya bersemuka, sedangkan hati saya tenang mendengar bicara ustazah. Jiwa saya bahagaia melihat senyuman dan kesabaran ustazah! Salam perpisahan kejoraku!

Kusanjungi jasamu kepadaku...

yang mewarnakan iman di hati...

indah coraknya dihiasi taqwa...

Menuju Ilahi.

Pelajarmu,

Nurul

**************************************************

“Hello... Assalamualaikum, mama ya?” Tersenyum aku mendengarkan suara mama di corong telefon. “Mama apa khabar? Dah lama Deeja tak dengar suara mama.” Terubat

sedikit rinduku. “Mama sihat, alhamdulillah. Papa pun sihat. Kenapa lama tak call?” “Deeja betul-betul sibuk mama. Entahlah, makin lama makin seronok pula Deeja di sini. Tinggal lagi tiga hari tempoh Deeja di sini. Mama... Deeja sayangkan sekolah ni. Deeja sayangkan pelajar-pelajar semuanya. Ma... Perpisahan memang sakit kan ma?” Lama juga aku berceloteh dengan mamaku. Menceritakan pahit manisku di sini. Menceritakan kebahagiaanku sebagai guru. Sebelum mengakhiri perbualan, sempat aku mengusik mama.

“Mama... Semalam Deeja mimpi tau!”

“Mimpi apa ni sayang?”

“Deeja mimpi mama Deeja ni sedang rajin kat dapur... Mama Deeja sedang masak macam-macam untuk Deeja. Ada ayam percik, sotong goreng, sambal belacan... Pandai tau mama Deeja masak dalam mimpi tu...”

“Oho... nak bodek mama lah ni! Okeylah... Balik nanti mama masak special, khas untuk Deeja ya! Cepat tau balik, mama rindukan Deeja. Papa pun asyik bertanyakan Deeja. We miss you very much, sayang...”

“Hmm... Me too. I miss both of you till my last breath. Hehehe... Erm... Okey ma... Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

“Cakap dengan pakwe ke Deeja? Dasyat bunyhinya kau lepaskan kerinduan terbuku? Hehee…” Kak Mila menyapaku. Kak Efah sengih. “Eleh... Mengaku ajelah. Deeja, nanti bila kenduri jemput kami tau! Entah bila pula kita akan jumpa selepas Deeja tamat praktikum di sini.” Kak Efah membangkitkan kesayuan. Aku hakikatnya terlalu sedih untuk meninggalkan semua di sini. SM Kirana (2) banyak mengajarku erti kehidupan. Erti perjuangan serta kesabaran. Aku belajar menelan kepahitan. Aku belajar mencipta kemanisan!

******************************************************

Terasa haus bersangatan. Tiga jam berturut-turut aku di Tingkatan 1 Syuhada’. Hari ini hari terakhir aku di sekolah. Sayu memandang wajah setiap pelajar yang bakal kutinggalkan. Aku singgah di kantin sekolah. Memesan Milo Ais. Aku duduk di bangku menunggu air pesanan. Aku membelek-belek kotak-kotak hadiah di sampingku. Banyak! Dari hari semalam, aku diberi hadiah. Diberi juga kek perpisahan. Memori di sini akanku semat kemas di hati. Sekumpulan pelajar lalu. Aku memerhatikan. Seakan pernah mengenali mereka. Tapi di mana? Mereka lalu bersahaja. Aku memerhatikan. Salah seorangnya berjalan tunduk. Tidak mengangkat muka. Jelas ada duka padanya. Tiba-tiba, kami berpandangan. Dia memandangku. Kemudian dengan cepatnya dia menunduk kembali. Merah wajah putih gebunya. Siapakah dia? Mengapakah dia? Teringat aku tiba-tiba pada jerkahan dan tohmahan seorang pelajar padaku di Masjid Islah pada suatu ketika dulu. Ah... Diakah itu? Aku meneguk Milo Ais yang baru dihidangkan. Sedap. Jadi bertenaga. Segar.

Aku teringin menemui pelajar itu. Dia sedang lalu tidak jauh dari situ. Pertemuan ini sudah kali terakhir. Biarlah jika hendak dikatakanya aku ini manusia penyibuk sebagaimana yang dikatakannya padaku dulu. Aku sudah kebal. Siapa pun dia, bagaimana pun dia, aku sayangi pelajarku!

“Awak!” Aku memanggilnya.

“Ustazah panggil saya?”

“Ya... Boleh ke sini sekejap?

Pelajar itu mengisyaratkan kepada rakan-rakannya untuk meninggalkannya sendiri. Pelajar itu datang. Dekat denganku.

“Ustazah... Maafkan saya atas sikap biadap saya pada ustazah. Maafkan segala peristiwa di masjid baru-baru ini.”

“Tidak mengapa. Ustazah gembira melihat awak hari ni. Bersopan, nampak cantik dan tenang.”

“Ustazah..., saya...”

“Kenapa?”

“Saya... Saya...”

“Erm... kenapa dengan awak? Ada apa-apa yang nak diperkatakan?

“Eh... Takdelah. Nothing. Erm... Hari ni hari terakhir ustazah di sekolah kan?”

“Ya. Nampaknya begitulah. Maafkan salah silap ustazah ya. Awak form 5 kan?”

“Ya ustazah...”

“SPM macam mana? Everything okay? Dah banyak buat preparation untuk exam akan datang?”

“InsyaAllah... Saya akan cuba yang terbaik. Ustazah doakanlah saya.”

Aku senyum. Bahagia melihatkan pelajar yang pada suatu masa sebelum ini bagaikan singa mengaum tatkala berbicara. Bagaikan halilintar tatkala memandang. Lihatlah dia sekarang. Sukar kugambarkan kegembiraan hatiku. Kegembiraan hati seorang guru melihat perubahan ini.

“Siapa nama kamu?”

“Nama saya... Nama saya... Nurul. Saya Nurul... Nurul Saleha.”

Seakan pernah selau aku mendengar sebutan “Nurul”. Ya... Surat yang diterimaku setiap selang sehari selepas peristiwa di Masjid Al Ihsan. “Nurul” inilah yang hasratnya ingin aku bimbinginya. Ingin aku dekatinya. Aku yang disayanginya. Dan... Aku turut menyayanginya!

************************************

Memburu berkelana sejalur cahaya,

Dalam kegelapan kutenui sekudu scinta,

Kujadikan pelita menyinari kesuraman jiwa,

lalu ku atru langkah mengembara rimba dunia, meongkah liku-liku pancaroba...

Dalam mendaki puncak gunung tercinta..,

Pasti ada jua sengatan berbisa menghiris jiwa,

kujadikan penawar suci mengubati luka-luka,

Pasti ada juga terik mentari noda-noda, melebur semangat membara,

kan ku payungi dengan lembayung rahmatNya

jua rimbunan pepohon hidayah dan kasih bahagia,

kerna destiansi kutuju membawa seribu makna,

melakar pelangi indah selamanya...

- - - - - - - -

ieydznur

Julai 2008